Friday, March 12, 2010

MICROSOFT ACCESS 2007 ( 202224 )


SALAM,SEDIKIT SEBANYAK MS ACCESS SAYA...

Thursday, March 11, 2010

KAFA Siap Sedia Hadapi Perlawanan

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, KAFA bersiap sedia dalam menghadapi perlawanan Kelantan dan Selangor pada Jumaat ini.

Beliau berkata, perlawanan yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan saingan sengit daripada kedua-dua pasukan dan bakal menarik sejumlah penyokong yang ramai.

“Jadi untuk memastikan keselesaan penonton dan pasukan, beberapa langkah tambahan ingin diambil oleh Kafa dan perbadanan stadium serta anggota keselamatan.

“Yang pertama ialah tiket akan dijual pada awal pagi bermula jam 10 hingga 12 tengah hari, dan disambung pula pada jam 2.30 petang hinggalah perlawanan bermula,’’ katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, 16 kaunter akan dibuka untuk peminat setia bola sepak, di mana bagi tiket di astaka hanya dua tiket sahaja dijual kepada seorang pembeli, manakala untuk tempat duduk terbuka pula setiap pembeli hanya boleh membeli empat tiket sahaja.

Annuar berkata, semua peminat bola diminta datang membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di minit-minit terakhir.

Menurutnya, berkaitan dengan tempat letak kenderaan pula, Kafa telah pun meminta pada pihak polis trafik membantu menyusun kenderaan dengan cara teratur.

“Ini kerana banyak rungutan dan aduan yang diterima, apabila setiap kali ada perlawanan, pasti ramai peminat bola yang disaman kerana meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jadi, langkah tersebut dengan kerjasama polis trafik diharap dapat membantu melancarkan lalu lintas pada malam tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, peminat bola juga digalakkan memakai baju warna pasukan serta membawa bendera pasukan bagi menunjukkan sokongan serta semangat pada malam tersebut.

Annuar berkata, tetapi peminat turut sama diingatkan tidak membawa barangan terlarang kerana ia adalah satu kesalahan.

Menurutnya, kesemua 12 pintu masuk stadium akan dikawal oleh pihak berkuasa dan proses pemeriksaan badan akan dibuat kepada setiap peminat yang datang menonton.

“Saya berharap, kesemua peminat dapat berkelakuan baik pada malam tersebut serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

KAFA Pohon Kurangkan Levi Elak Persatuan Berkubur

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon pihak Perbadanan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mempertimbangkan pengurangan kadar levi yang dikenakan terhadap persatuan itu kerana ia agak membebankan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, kadar levi itu agak tinggi iaitu sehingga 20 peratus daripada jumlah kutipan tiket bagi setiap perlawanan.

"Setiap kali perlawanan, KAFA perlu membayar levi antara RM20,000 hingga RM30,000, manakala 10 peratus lagi perlu dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"KAFA terpaksa membelanjakan kira-kira 60 peratus daripada hasil kutipan tiket manakala hanya 40 peratus untuk kegunaan persatuan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Annuar menambah, jumlah 40 peratus tidak mencukupi untuk KAFA untuk menampung urusan pentadbiran termasuk bagi membayar gaji pemain dan jika keadaan ini berterusan tidak mustahil KAFA akan berkubur.

"KAFA sudah membuat rayuan kepada perbadanan stadium untuk mengurangkan kadar levi atau memberi sewa stadium kepada KAFA secara tahunan.

"Jika dibandingkan negeri lain, mereka menyewakan padang kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing dengan kadar yang lebih murah malahan ada secara percuma semata-mata untuk membantu pasukan," katanya.

Sementara itu, Annuar menjelaskan, pihaknya akan mempertingkatkan tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ketika pertemuan Liga Super antara Kelantan dengan Selangor, Jumaat ini.

"Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di Kota Bharu dalam saingan Liga Super dan kita menjangkakan kehadiran penyokong lebih ramai pada perlawanan itu.

"Langkah keselamatan ini penting untuk menggelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Untuk itu seramai 400 anggota keselamatan akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penyokong terjamin," katanya.

Tambahnya, kaunter tiket akan dibuka seawal pukul 9 pagi untuk menggelak berlakunya kesesakan.

"Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan dinasihatkan datang awal untuk membeli tiket dan kita akan buka kesemua kaunter yang ada untuk memastikan tidak berlakunya kesesakan.

"Seorang penyokong hanya dibenarkan membeli 2 keping sahaja tiket untuk astaka manakala 4 keping untuk tempat duduk terbuka," ujarnya.

Katanya, tiket astaka akan dijual di kaunter lama manakala tiket tempat duduk terbuka di kaunter baru.

Thursday, March 4, 2010


salam,ingatkan susah nak publishkan buletin..rupa-rupanya semesek skali..ustaz wi,ustaz ya,ustaz di,ustaz jalal staro mano..bereh doh ko?..sapo tak tahu nk buat guano..buleh hubungi ambo hehehe..

Sultan Kelantan pulang esok

KOTA BHARU, 3 Mac: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dijangka berangkat pulang esok setelah mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak Mei lalu.

Anakandanya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra mengesahkan perkara itu pada sidang media yang diadakan di Kubang Kerian semalam.

“Ayahanda Tuanku Al-Sultan telah kembali pulih dan hanya memerlukan rawatan fisioterapi susulan.

“Sehubungan itu baginda telah berkenan untuk berangkat pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 4 Mac ini,” katanya.

Menurutnya, Tuanku Sultan juga mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan doktor yang melakukan rawatan dan rakyat jelata yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan baginda.

Sultan Kelantan sebelum ini mengalami masalah jantung. Baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 14 Mei lalu.

Kemudian dihantar ke Hospital Mount Elizabeth pada 24 Mei untuk rawatan susulan.

Pak Lah anggap BN belum kuat walau beberapa MP PKR keluar parti

PUTRAJAYA, 3 Mac: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak melihat bahawa BN kini telah menjadi kuat berikutan beberapa ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan keluar parti.

“BN jangan menganggap dengan apa yang berlaku kepada pembangkang, BN akan automatik menjadi kuat. Setakat nak harap jadi kuat dan menang hanya kerana pembangkang sedang menghadapi masalah saya ingat harapan itu akan meleset,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sebuah restoran di Putrajaya hari ini.

Tun Abddulah mendesak BN agar melaksanakan janji pilihanraya dan juga reformasi dalaman yang dilaung-laungkan hingga menyebabkan beliau terpaksa meletakan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno sebelum ini.

Beliau adalah korban pertama dalam reformasi yang dicanangkan Umno-BN selepas kekalahan teruk BN pada Pilihanraya Umum 2008.

Ketika BN menang besar pada 2004 Tun Abdullah disanjung melangit, namun dengan kekalahan paling teruk dalam sejarah BN pada 2008 ramai pemimpin ada ahli Umno mahu beliau berundur secara terhormat.

Tun Abdullah jelas masih melihat kekuatan Pakatan Rakyat tidak tergugat kerana yang keluar parti itu hanyalah Ahli Parlimen yang dalam Pilihanraya akan datang belum tentu akan bertanding lagi.

Kedudukan Pakatan dan BN dalam pilihanraya akan datang adalah dari undi rakyat dan kedua-dua pihak masih dilihat mempunyai pengaruh yang seimbang.