Thursday, March 11, 2010

KAFA Siap Sedia Hadapi Perlawanan

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, KAFA bersiap sedia dalam menghadapi perlawanan Kelantan dan Selangor pada Jumaat ini.

Beliau berkata, perlawanan yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan saingan sengit daripada kedua-dua pasukan dan bakal menarik sejumlah penyokong yang ramai.

“Jadi untuk memastikan keselesaan penonton dan pasukan, beberapa langkah tambahan ingin diambil oleh Kafa dan perbadanan stadium serta anggota keselamatan.

“Yang pertama ialah tiket akan dijual pada awal pagi bermula jam 10 hingga 12 tengah hari, dan disambung pula pada jam 2.30 petang hinggalah perlawanan bermula,’’ katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, 16 kaunter akan dibuka untuk peminat setia bola sepak, di mana bagi tiket di astaka hanya dua tiket sahaja dijual kepada seorang pembeli, manakala untuk tempat duduk terbuka pula setiap pembeli hanya boleh membeli empat tiket sahaja.

Annuar berkata, semua peminat bola diminta datang membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di minit-minit terakhir.

Menurutnya, berkaitan dengan tempat letak kenderaan pula, Kafa telah pun meminta pada pihak polis trafik membantu menyusun kenderaan dengan cara teratur.

“Ini kerana banyak rungutan dan aduan yang diterima, apabila setiap kali ada perlawanan, pasti ramai peminat bola yang disaman kerana meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jadi, langkah tersebut dengan kerjasama polis trafik diharap dapat membantu melancarkan lalu lintas pada malam tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, peminat bola juga digalakkan memakai baju warna pasukan serta membawa bendera pasukan bagi menunjukkan sokongan serta semangat pada malam tersebut.

Annuar berkata, tetapi peminat turut sama diingatkan tidak membawa barangan terlarang kerana ia adalah satu kesalahan.

Menurutnya, kesemua 12 pintu masuk stadium akan dikawal oleh pihak berkuasa dan proses pemeriksaan badan akan dibuat kepada setiap peminat yang datang menonton.

“Saya berharap, kesemua peminat dapat berkelakuan baik pada malam tersebut serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment