Thursday, March 11, 2010

KAFA Pohon Kurangkan Levi Elak Persatuan Berkubur

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon pihak Perbadanan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mempertimbangkan pengurangan kadar levi yang dikenakan terhadap persatuan itu kerana ia agak membebankan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, kadar levi itu agak tinggi iaitu sehingga 20 peratus daripada jumlah kutipan tiket bagi setiap perlawanan.

"Setiap kali perlawanan, KAFA perlu membayar levi antara RM20,000 hingga RM30,000, manakala 10 peratus lagi perlu dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"KAFA terpaksa membelanjakan kira-kira 60 peratus daripada hasil kutipan tiket manakala hanya 40 peratus untuk kegunaan persatuan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Annuar menambah, jumlah 40 peratus tidak mencukupi untuk KAFA untuk menampung urusan pentadbiran termasuk bagi membayar gaji pemain dan jika keadaan ini berterusan tidak mustahil KAFA akan berkubur.

"KAFA sudah membuat rayuan kepada perbadanan stadium untuk mengurangkan kadar levi atau memberi sewa stadium kepada KAFA secara tahunan.

"Jika dibandingkan negeri lain, mereka menyewakan padang kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing dengan kadar yang lebih murah malahan ada secara percuma semata-mata untuk membantu pasukan," katanya.

Sementara itu, Annuar menjelaskan, pihaknya akan mempertingkatkan tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ketika pertemuan Liga Super antara Kelantan dengan Selangor, Jumaat ini.

"Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di Kota Bharu dalam saingan Liga Super dan kita menjangkakan kehadiran penyokong lebih ramai pada perlawanan itu.

"Langkah keselamatan ini penting untuk menggelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Untuk itu seramai 400 anggota keselamatan akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penyokong terjamin," katanya.

Tambahnya, kaunter tiket akan dibuka seawal pukul 9 pagi untuk menggelak berlakunya kesesakan.

"Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan dinasihatkan datang awal untuk membeli tiket dan kita akan buka kesemua kaunter yang ada untuk memastikan tidak berlakunya kesesakan.

"Seorang penyokong hanya dibenarkan membeli 2 keping sahaja tiket untuk astaka manakala 4 keping untuk tempat duduk terbuka," ujarnya.

Katanya, tiket astaka akan dijual di kaunter lama manakala tiket tempat duduk terbuka di kaunter baru.

No comments:

Post a Comment