

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, KAFA bersiap sedia dalam menghadapi perlawanan Kelantan dan Selangor pada Jumaat ini.
Beliau berkata, perlawanan yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan saingan sengit daripada kedua-dua pasukan dan bakal menarik sejumlah penyokong yang ramai.
“Jadi untuk memastikan keselesaan penonton dan pasukan, beberapa langkah tambahan ingin diambil oleh Kafa dan perbadanan stadium serta anggota keselamatan.
“Yang pertama ialah tiket akan dijual pada awal pagi bermula jam 10 hingga 12 tengah hari, dan disambung pula pada jam 2.30 petang hinggalah perlawanan bermula,’’ katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, 16 kaunter akan dibuka untuk peminat setia bola sepak, di mana bagi tiket di astaka hanya dua tiket sahaja dijual kepada seorang pembeli, manakala untuk tempat duduk terbuka pula setiap pembeli hanya boleh membeli empat tiket sahaja.
Annuar berkata, semua peminat bola diminta datang membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di minit-minit terakhir.
Menurutnya, berkaitan dengan tempat letak kenderaan pula, Kafa telah pun meminta pada pihak polis trafik membantu menyusun kenderaan dengan cara teratur.
“Ini kerana banyak rungutan dan aduan yang diterima, apabila setiap kali ada perlawanan, pasti ramai peminat bola yang disaman kerana meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.
“Jadi, langkah tersebut dengan kerjasama polis trafik diharap dapat membantu melancarkan lalu lintas pada malam tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata, peminat bola juga digalakkan memakai baju warna pasukan serta membawa bendera pasukan bagi menunjukkan sokongan serta semangat pada malam tersebut.
Annuar berkata, tetapi peminat turut sama diingatkan tidak membawa barangan terlarang kerana ia adalah satu kesalahan.
Menurutnya, kesemua 12 pintu masuk stadium akan dikawal oleh pihak berkuasa dan proses pemeriksaan badan akan dibuat kepada setiap peminat yang datang menonton.
“Saya berharap, kesemua peminat dapat berkelakuan baik pada malam tersebut serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memohon pihak Perbadanan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mempertimbangkan pengurangan kadar levi yang dikenakan terhadap persatuan itu kerana ia agak membebankan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, kadar levi itu agak tinggi iaitu sehingga 20 peratus daripada jumlah kutipan tiket bagi setiap perlawanan.
"Setiap kali perlawanan, KAFA perlu membayar levi antara RM20,000 hingga RM30,000, manakala 10 peratus lagi perlu dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)."KAFA terpaksa membelanjakan kira-kira 60 peratus daripada hasil kutipan tiket manakala hanya 40 peratus untuk kegunaan persatuan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Annuar menambah, jumlah 40 peratus tidak mencukupi untuk KAFA untuk menampung urusan pentadbiran termasuk bagi membayar gaji pemain dan jika keadaan ini berterusan tidak mustahil KAFA akan berkubur.
"KAFA sudah membuat rayuan kepada perbadanan stadium untuk mengurangkan kadar levi atau memberi sewa stadium kepada KAFA secara tahunan.
"Jika dibandingkan negeri lain, mereka menyewakan padang kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing dengan kadar yang lebih murah malahan ada secara percuma semata-mata untuk membantu pasukan," katanya.
Sementara itu, Annuar menjelaskan, pihaknya akan mempertingkatkan tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ketika pertemuan Liga Super antara Kelantan dengan Selangor, Jumaat ini.
"Ini merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di Kota Bharu dalam saingan Liga Super dan kita menjangkakan kehadiran penyokong lebih ramai pada perlawanan itu.
"Langkah keselamatan ini penting untuk menggelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Untuk itu seramai 400 anggota keselamatan akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penyokong terjamin," katanya.
Tambahnya, kaunter tiket akan dibuka seawal pukul 9 pagi untuk menggelak berlakunya kesesakan.
"Orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan dinasihatkan datang awal untuk membeli tiket dan kita akan buka kesemua kaunter yang ada untuk memastikan tidak berlakunya kesesakan.
"Seorang penyokong hanya dibenarkan membeli 2 keping sahaja tiket untuk astaka manakala 4 keping untuk tempat duduk terbuka," ujarnya.
Katanya, tiket astaka akan dijual di kaunter lama manakala tiket tempat duduk terbuka di kaunter baru.
KOTA BHARU, 3 Mac: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dijangka berangkat pulang esok setelah mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak Mei lalu.
Anakandanya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra mengesahkan perkara itu pada sidang media yang diadakan di Kubang Kerian semalam.
“Ayahanda Tuanku Al-Sultan telah kembali pulih dan hanya memerlukan rawatan fisioterapi susulan.
“Sehubungan itu baginda telah berkenan untuk berangkat pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 4 Mac ini,” katanya.
Menurutnya, Tuanku Sultan juga mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan doktor yang melakukan rawatan dan rakyat jelata yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan baginda.
Sultan Kelantan sebelum ini mengalami masalah jantung. Baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 14 Mei lalu.
Kemudian dihantar ke Hospital Mount Elizabeth pada 24 Mei untuk rawatan susulan.
AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada Ramadan, kitab Allah yang akan kekal sehingga Hari Kiamat. Kitab suci itu satu-satunya wahyu yang terpelihara daripada penyelewengan seperti dijanjikan Allah menerusi firman-Nya, bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami (Allah) tetap memeliharanya.” (surah al-Hijr, ayat 9).
Umat Islam perlu memastikan al-Quran tetap terpelihara kesucian dan martabatnya. Ia dapat direalisasikan apabila umat membaca, menghafal, memahami dan mengambil pengajaran ayat itu.
Dalam konteks pembacaan al-Quran, Rasulullah dalam sabdanya daripada Ibn Mas`ud, yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca al-Quran satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan dan kebaikan itu ganjarannya sama dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, dan Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.” ( Sunan al-Tirmidhi).
Al-Quran perlu dibaca dengan betul mengikut hukum tajwid, secara tartil dan tertib. Firman Allah bermaksud: “Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.” ( Al-Muzammil: 4).
Rasulullah ialah pembaca al-Quran paling bagus diakui al-Barra’ `Azib. Beliau mendengar Nabi membaca surah al-Tin ketika solat Isyak dan tidak pernah mendengar suara merdu dan elok seperti Baginda (Riwayat al-Bukhari). Kemahiran membaca al-Quran harus digabungkan dengan kemahiran memahami apa yang dibaca.
Al-Marhum Sheikh Muhammad al-Ghazzali mengkritik sikap sesetengah masyarakat yang terlalu menumpukan soal pembacaan tanpa meneliti dan memahami apa yang dibaca. Beliau juga mempersoalkan mereka yang membaca al-Quran semata-mata untuk meraih keberkatan daripadanya.
Tindakan umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai khat menghiasi rumah, membiarkan al-Quran berada di rak yang hanya dibuka dan dibaca dalam keadaan tertentu seperti kematian, khatam al-Quran ketika kenduri, menjadikannya simbol menghalau unsur jahat boleh dikategorikan sebagai memohon keberkatan. Firman Allah bermaksud: “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan padamu dengan berkat supaya memikirkan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Sad, 29)
Beliau turut kecewa sikap sesetengah umat Islam yang tidak tersentuh perasaannya ketika membaca ayat al-Quran. Orang yang membaca buku menjiwai kandungan dibaca seolah-olah terbabit secara langsung dengan faktanya. Jika ini boleh berlaku ketika membaca buku, apatah lagi ia harus, malah lebih afdal, berlaku ketika membaca al-Quran.
Ada juga sesetengah kita membaca al-Quran untuk memastikan orang lain mendapat bencana atau kecelakaan. Contohnya, apabila seseorang hilang barang berharga, dia lantas membaca ayat al-Quran, selalunya surah Yasin supaya orang yang mengambil barangnya sakit.
Keadaan ini memaksa kita bertanya apakah al-Quran diturunkan untuk menjadikan orang lain sakit akibat perbuatannya sedangkan Allah berfirman maksudnya: “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (surah al-Baqarah, ayat 2). Apabila seseorang mahir dan memahami bacaan al-Quran, dia harus memastikan dirinya memanfaatkan ayat itu.
Jika ayat yang dibaca mengenai nikmat Ilahi yang wajib disyukuri, pembaca harus bertanya kepada dirinya adakah dia benar-benar termasuk orang mensyukuri nikmat itu. Begitu juga jika ayat mengenai seksaan api neraka, pembaca harus muhasabah.
Renungkan kisah Khalifah Umar Abd Aziz ketika membaca ayat 22-24 surah al-Saffat yang maksudnya: “(Kepada malaikat diperintahkan): kumpulkan orang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan yang selalu mereka sembah, selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya; kenapa kamu tidak tolong- menolong?” beliau terpegun dengan ayat itu hingga ke subuh.
Walaupun ayat itu menggambarkan seksaan orang zalim ketika kiamat kerana musyrik yang mereka lakukan, Umar Abd Aziz merasakan ayat itu ada kena mengena dengan dirinya.